Ahad, Oktober 25, 2009

Dia berterima kasih, Doakan untuknya...


"Apabila pergi seseorang anak Adam dari muka bumi ini menemui TuhanNya...dia tidak meninggalkan apa-apa yang dipandang olehNya melainkan...Pertamanya, ilmu yang bermanfaat. Keduanya, sedekah jariah. Dan ketiganya, anak yang soleh dan solehah."

Konvokesyen telah berlalu...Maka lengkaplah LLB aku. Begitu juga seorang sahabatku ini. Setelah 2 tahun di pusat matrikulasi, dan 4 tahun di kampus induk, maka dia telah bergelar graduan. Dia mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga buat ibu dan ayahnya, kerana mengajarnya tentang erti hidup ini. Dan kejayaan yang tidak seberapa itu adalah untuk mereka yang cuba memahami anaknya itu. Dia juga memohon maaf kerana kejayaannya tidak cemerlang seperti yang lain, ia begitu tidak sempurna kerana kelemahan dirinya sendiri.

Dirinya sangat nakal semasa kecil, dan sering buat mereka tidak senang dengannya. Terpaksa juga menanggung malu, marah dan sedih kerana dia. Dia pohon ampun dan maaf...

Dulu dia pernah terkhilaf dalam memahami keadaan keluarganya. Terima kasih dia ucapkan, kerana tanpa keadaan-keadaan itu, mungkin dia tiada di sini... Benar, apa yang berlaku ada hikmahnya. Pasti Dia lebih tahu mengapa seseorang itu diberi dugaan.

Terima Kasih buat segalanya...Kisah mereka dihalau dari rumah itu mengajar dia bagaimana mahu mencari rumah lain. Kisah mereka tidur berdindingkan plastik dan berlantaikan tikar atas tanah mengajar dia bagaimana mahu untuk berusaha. Kisah mereka dipinggirkan dari saudara-mara mengajar dia untuk bersabar dan agar memujuk hati agar jangan berdendam. Kisah hancurnya institusi kekeluargaan sebilangan jiran dan saudara mereka mengajar dia bahawa agamalah penyelamat dan benteng kehidupan dari terus hanyut.

Bagi dia, dia perlu cuba belajar untuk ikhlas dan redha di atas segalanya. Walaupun susah, bukankah masih ramai di luar sana yang nasibnya lebih teruk dari dia? Ikhlas itu susah...Pernah dia bertanya kepada ibunya apa itu ikhlas? Bagaimana mahu menerima bila kita tak mahu sesuatu itu terjadi pada kita?


"Ikhlas itu dalam hati...Bukan diungkapkan...Memang susah, tapi kita perlu belajar. Ibu pun susah nak buat. Tapi, bila kita sudah buat yang terbaik dan usaha, kenapa nak bimbang lagi? Kita terima je apa akan terjadi...Tuhan Maha Kaya, Dia tahu hati kita bagaimana. Jangan sesekali mengharap orang ikhlas terhadap kita, tapi kita yang perlu ikhlas dulu dengan orang. Hanya mata hati yang dapat melihatnya sebab ikhlas letaknya dalam hati....", bicara ibunya.

Apa yang diharapkan sekarang, dia akan mendapat ilmu yang bermanfaat dan diberikan peluang lagi untuk terus belajar. Dia akan berusaha untuk mencari rezeki agar dapat memberikan sedekah jariah. Dan dia akan berusaha untuk menjadi anak yang solehah.

Doakan dia agar dia kuat dan tabah dalam menghadapi liku-liku seterusnya. Doakan dia agar dia mendapat apa yang diimpikan untuk sampai ke tujuan hakikinya. Doakan dia bahagia walau apa jua yang terjadi pada dirinya. Doakan dia agar mendapat hati ikhlas dalam hidupnya. Ameen...;)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan