Ahad, Oktober 25, 2009

Dia berterima kasih, Doakan untuknya...


"Apabila pergi seseorang anak Adam dari muka bumi ini menemui TuhanNya...dia tidak meninggalkan apa-apa yang dipandang olehNya melainkan...Pertamanya, ilmu yang bermanfaat. Keduanya, sedekah jariah. Dan ketiganya, anak yang soleh dan solehah."

Konvokesyen telah berlalu...Maka lengkaplah LLB aku. Begitu juga seorang sahabatku ini. Setelah 2 tahun di pusat matrikulasi, dan 4 tahun di kampus induk, maka dia telah bergelar graduan. Dia mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga buat ibu dan ayahnya, kerana mengajarnya tentang erti hidup ini. Dan kejayaan yang tidak seberapa itu adalah untuk mereka yang cuba memahami anaknya itu. Dia juga memohon maaf kerana kejayaannya tidak cemerlang seperti yang lain, ia begitu tidak sempurna kerana kelemahan dirinya sendiri.

Dirinya sangat nakal semasa kecil, dan sering buat mereka tidak senang dengannya. Terpaksa juga menanggung malu, marah dan sedih kerana dia. Dia pohon ampun dan maaf...

Dulu dia pernah terkhilaf dalam memahami keadaan keluarganya. Terima kasih dia ucapkan, kerana tanpa keadaan-keadaan itu, mungkin dia tiada di sini... Benar, apa yang berlaku ada hikmahnya. Pasti Dia lebih tahu mengapa seseorang itu diberi dugaan.

Terima Kasih buat segalanya...Kisah mereka dihalau dari rumah itu mengajar dia bagaimana mahu mencari rumah lain. Kisah mereka tidur berdindingkan plastik dan berlantaikan tikar atas tanah mengajar dia bagaimana mahu untuk berusaha. Kisah mereka dipinggirkan dari saudara-mara mengajar dia untuk bersabar dan agar memujuk hati agar jangan berdendam. Kisah hancurnya institusi kekeluargaan sebilangan jiran dan saudara mereka mengajar dia bahawa agamalah penyelamat dan benteng kehidupan dari terus hanyut.

Bagi dia, dia perlu cuba belajar untuk ikhlas dan redha di atas segalanya. Walaupun susah, bukankah masih ramai di luar sana yang nasibnya lebih teruk dari dia? Ikhlas itu susah...Pernah dia bertanya kepada ibunya apa itu ikhlas? Bagaimana mahu menerima bila kita tak mahu sesuatu itu terjadi pada kita?


"Ikhlas itu dalam hati...Bukan diungkapkan...Memang susah, tapi kita perlu belajar. Ibu pun susah nak buat. Tapi, bila kita sudah buat yang terbaik dan usaha, kenapa nak bimbang lagi? Kita terima je apa akan terjadi...Tuhan Maha Kaya, Dia tahu hati kita bagaimana. Jangan sesekali mengharap orang ikhlas terhadap kita, tapi kita yang perlu ikhlas dulu dengan orang. Hanya mata hati yang dapat melihatnya sebab ikhlas letaknya dalam hati....", bicara ibunya.

Apa yang diharapkan sekarang, dia akan mendapat ilmu yang bermanfaat dan diberikan peluang lagi untuk terus belajar. Dia akan berusaha untuk mencari rezeki agar dapat memberikan sedekah jariah. Dan dia akan berusaha untuk menjadi anak yang solehah.

Doakan dia agar dia kuat dan tabah dalam menghadapi liku-liku seterusnya. Doakan dia agar dia mendapat apa yang diimpikan untuk sampai ke tujuan hakikinya. Doakan dia bahagia walau apa jua yang terjadi pada dirinya. Doakan dia agar mendapat hati ikhlas dalam hidupnya. Ameen...;)

Khamis, Oktober 22, 2009

Merubah Mentaliti...

Hujan lebat semasa saya dan sahabat mahu ke klinik kampus, tujuannya untuk bertemu dengan adik di sana. Selepas selesai mencari buku di perpustakaan, kami berbincang jalan mana yang perlu dilalui, dengan mengambil kira laluan yang paling dekat, ada 'ramp' dan kurang terkena hujan. Lalu 'wheelchair' sahabatku meluncur dan saya melangkahkan kaki setelah berputus. Sampai di satu 'ramp'.... saya sangat kecewa apabila ia dihalang oleh sebuah kereta. Mengapa dia 'parking' di situ?

Sebenarnya, ini bukan pengalaman pertama kami. Kadang-kadang, apabila dalam keadaan yang genting kami jadi marah apabila melihat sikap dan mentaliti orang yang tidak mahu memahami. Bila tergesa-gesa untuk pergi ke tempat yang penting, kami terpaksa mencari jalan lain yang ada 'ramp' dan tiada orang 'parking' di situ! Bayangkan, mereka punya banyak lagi pilihan untuk 'parking', tapi orang-orang seperti sahabat saya hanya punya pilihan yang itu sahaja...Jika mereka tidak diberikan peluang untuk menikmatinya, apa lagi yang perlu mereka lakukan?

Pengalaman yang lain, ketika mahu menggunakan lif untuk pergi ke kelas. Saya tahu semua orang tergesa-gesa, takut lambat masuk kelas...tapi ramai kan yang mampu menggunakan tangga? Bayangkan, orang-orang seperti sahabat saya, yang terpaksa menggunakan lif untuk ke kelas di tingkat 2,3 atau 4...cuma mampu menggunakan lif, tidak tangga! Tetapi mereka yang mampu menggunakan tangga tidak mengendahkan mereka dan tidak mahu mengalah.

Nah! Bila mahu ubah mentaliti? Sampai bila mahu pentingkan diri sendiri? Kalau kita di tempat mereka? Tolong jangan halang mana-mana 'ramp' lagi... Tolong berikan peluang kepada rakan-rakan seperti sahabat saya jika mereka perlukan lif... Kalau mereka tiada, nak naik lif sampai lif tu sendat dan berbunyi pun tak apa! Fahami mereka dan ubahlah mentaliti kita...Tak kira di mana pun, sama ada kampus atau di luar sana. Tepuk dada, tanyalah ada budi bahasa ke tak ye?

Ahad, Oktober 18, 2009

Viva, Waja, Bas

Balqis: Mak, Z**a sudah punya Viva biru… A**d juga sudah punya Waja Silver… Tapi Qis masih naik bas lagi. Sampai bila mak? Abah, boleh tak kalau Qis nak berhenti belajar, kerja terus? Nanti boleh Qis tolong mak dan abah…

Mak: Qis, bila seseorang tu lahir ke dunia ni… dia tak terus berlari. Dia bermula dengan mengengsot, kemudian merangkak, berjalan…baru boleh berlari… Biarkan mereka. Mereka punya Viva dan Waja sebab ada yang belikan. Tapi Qis… mak dan abah cuma mampu bagi ilmu. Gunakan ilmu tu untuk dapatkan apa yang kamu mahu nanti ye. Kamu mengengsot sendiri, merangkak sendiri, berjalan sendiri…mak akan tengok kamu berlari nanti. Percayalah…

Abah: Qis, jadilah seorang pendaki gunung yang cukup bekalnya… Teruskan dakian kamu, jangan jatuh, bahaya dan boleh mati… Biar perlahan-perlahan, jangan gopoh nak cepat sampai je. Yang penting, kamu usaha untuk sampai ke puncak, kamu pasti akan sampai nanti.

Mak: Ingat kisah perlumbaan kura-kura dan kancil?

Balqis: Ingat…

Mak: Biarpun kura-kura yang lambat, tapi dia sampai dulu kan? Yang penting, dia tak leka dan kuat semangat.

Jumaat, Oktober 09, 2009

Kisah Balqis: Soal Hati??

Balqis, lembut hatinya...mudah tersentuh. Dia merasakan hatinya kosong! Jiwanya kacau! Mengapa? Kata dia, hati perlu diisi...semua orang begitu. Tiada siapa yang terkecuali. Bohong kalau ada yang mengatakan jiwa dan hati seseorang itu sudah sempurna tanpa apa-apa pengisian.. Bicara Balqis, "Apa yang perlu aku isi dengan hatiku? Aku mulai lalai, aku mulai terpengaruh dengan bisikan-bisikan dan arus kemodenan. Yang cuma ditopengkan dengan nafsu. Masa lapangku sudah mulai diisi dengan perkara sia-sia. Ya, memang benar masa lapang seorang pemuda dan pemudi itu boleh membunuh!
Balqis mahu berpatah balik, mahu buangkan jiwa kacaunya. "Bila hati perlu diisi, cuma ada dua pilihan. Sama ada yang baik atau yang buruk. Barangkali jiwa kacau kamu sudah diisi dengan sesuatu yang buruk. Kajilah apa dia.." kata Seha.
"Ya, barangkali..." getus Balqis. "Aku punya masa lapang dan aku lupa dengan yang perlu dan yang tidak perlu. Kenapa aku berubah? Rapuhnya hati ini...."

Jumaat, Oktober 02, 2009

PROUD OF U...

You are such a person that have determination of life...
You walk with pain...and you had gain something...
You motivate me, that life is still beautiful...
Tears must be wipe, legs have to walk and run...
Love is to be shared, heart is to be cared...
Thank you for always be with me...
Sorry for my weaknesses...

kak Miza & Syarifah!!! This is for you. I'm proud of you! Congratulation for our becoming convocation...This is our wasilah to Him, insyaAllah!